. Penduduk
sekitar daerah Kuantan dan Gebeng sekali lagi terdedah kepada ancaman
sisa radioaktif yang bakal terhasil apabila sebuah Syarikat Australia
Lynas Corp. akan membina Pusat Pemprosesan Tanah Jarang [rare earth] yang terbesar di dunia dengan nilai RM 700 juta.
2. Kilang serupa pernah cuba dibina di Bukit Merah Negeri Perak pada
tahun 80an [82 - 87] yang lalu, namun mendapat bantahan hebat dari
pelbagai pihak kerana ia memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk
seperti kanser, leukemia, cacat, malah ada yang meninggal dunia.
Sekarang mereka membinanya pula di Pusat Industri Gebeng Kuantan Pahang
yang letaknya tidak jauh dari kawasan penempatan awam yang besar di
daerah Balok, Beserah dan Pelindung.
3. Malangnya Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia, Raja Abdul Aziz Raja Adnan mengatakan kesan radiasinya rendah dan selamat. Persoalannya,
jika proses menapis tanah jarang [rare earth] ini tidak memberi kesan
kepada kesihatan penduduk, kenapa ia dilombong di Mount Weld Australia
dan tidak sahaja ia diproses di Perth Australia? Kenapa perlu pindahkan
ke Gebeng Kuantan melepasi 2500 km jauh jaraknya.
4. Saya difahamkan seorang pengamal perubatan dan ahli toksilogi, Dr
Jayabalan A Thambyappa, yang pernah merawat beberapa pesakit di Bukit
Merah, beliau sendiri kurang yakin dengan kenyataan itu. “Perkataan 'rendah' adalah semata-mata persepsi - ia adalah karsinogen,”
5. Saya melihat projek seperti ini sangat mengundang risiko kepada tahap kesihatan masyarakat kita kerana Pusat Industri Gebeng letaknya berhampiran dengan Taman Perumahan penduduk.
Sisa buang yang akan tersalur ke sungai akan memberi kesan radioaktif
kepada masyarakat. Apakah seluas-luas gurun di Australia tidak mencukupi
untuk membina kilang seperti ini jika ia benar-benar didakwa selamat.
6. Berikut adalah kronologi penetangan Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh sehingga penutupannya pada 19 Januari, 1994.
1979
November: Syarikat Asian Rare Earth (ARE) dibentuk untuk mengekstrak
itrium (sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit. Pemegang saham
utamanya ialah Mitsubishi Chemical Industries Ltd (35%), Beh Minerals
(35%), Lembaga Urusan dan Tabung Haji (20%) dan beberapa peniaga
bumiputera (10%). Pihak ARE telah mendapatkan pandangan dari Pusat
Penyelidikan Atom Tun Dr. Ismail (Puspati), Kementerian Sains, Teknologi
dan Alam Sekitar mengenai sisa buangan radioaktif yang dihasilkan
melalui pemerosesan monazit. Adalah diputuskan, sisa buangan itu yang
menjadi milik kerajaan Negeri Perak akan disimpan kerana berpotensi
sebagai sumber tenaga nuklear.
1982
Jun: Penduduk Parit, Perak mendapat tahu kerajaan telah memilih
kawasan seluas sembilan ekar, kira-kira 6 km dari penempatan mereka
untuk dijadikan tapak penimbunan sisa radioaktif syarikat ARE.
30 Jun: Ekoran bantahan hebat daripada jawatankuasa penduduk serta
lain-lain pertubuhan politik dan sosial, kerajaan membatalkan cadangan
itu dan kemudian mula mencari tapak baru.
11 Julai: Kilang ARE mula beroperasi di KM 7.2, Jalan Lahat di Bukit Merah.
1983
November: Penduduk Papan (kira-kira 16 km dari Ipoh) mendapat tahu
ARE sedang mengorek lubang berhampiran tempat kediaman mereka untuk
dijadikan tapak buangan sisa radioaktif. Tapak itu merupakan pilihan
kerajaan.
1984
24 Mei: Kira-kira 6,700 penduduk Papan dan pekan-pekan yang
berhampiran menandatangani satu surat bantahan dan menghantarnya kepada
Perdana Menteri, Menteri Besar Perak, Menteri Kesihatan serta Menteri
Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
31 Mei: Seramai 200 penduduk Papan membantah tapak pembuangan yang dicadangkan. Mereka menyekat jalan yang menuju ke tapak itu.
5 Jun: Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengambil segala
langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatannya dan menegaskan
pembinaan tapak buangan radioaktif di Papan akan diteruskan.
18 Jun: Kira-kira 300 penduduk Papan sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah tapak buangan yang dicadangkan.
28 Jun: Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen
Yong berkata, tapak buangan Papan adalah selamat kerana dibina mengikut
piawaian yang ketat. Beliau mencabar pengkritik supaya membuktikan
tapak itu boleh mengancam kesihatan dan alam sekitar. Sementara itu, ARE
meneruskan operasinya dengan menimbun sisa torium di sebuah kawasan
terbuka dan kolam berhampiran kilang itu.
1 Julai: Kira-kira 3,000 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak
mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebagai membantah tapak buangan
tersebut.
4 Julai: Seramai 2,000 orang penduduk terus mengadakan tunjuk
perasaan meskipun Ketua Polis Perak memberi arahan supaya bersurai.
18 Julai: Pembentukan Jawatankuasa Bertindak Bukit Merah, terdiri
daripada penduduk Bukit Merah, Lahat, Menglembu dan Taman Badri Shah,
sebagai tanda sokongan kepada penduduk Papan. Sahabat Alam Malaysia
(SAM) menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri memaklumkan
paras radiasi yang tinggi telah dikesan dikawasan kolam terbuka
berhampiran kilang ARE di Bukit Merah. Satu bacaan yang dicatat oleh
pegawai-pegawai SAM sewaktu berkunjung ke situ ialah 43,800
milirem/tahun. Paras ini melebihi 88 kali paras maksimum yang ditetapkan
oleh Suruhanjaya Antarabangsa bagi Perlindungan Radiologi (ICRP) untuk
orang ramai.
29 Ogos: Michael O ‘Riordan dari Lembaga Perlindungan Radiologi
Kebangsaan British dijemput oleh kerajaan untuk memeriksa tapak buangan
toksik di Papan.
19 September: Sekumpulan tiga orang dari Agensi Tenaga Atom
Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengunjugi tapak
buangan di Papan atas jemputan kerajaan Malaysia. Mereka mengisytiharkan
tapak buangan itu tidak selamat.
5 Oktober: Dr William Cannell, seorang ahli fizik dan penganalisis
kesihatan menerima jemputan penduduk Papan untuk melawat tapak buangan
tersebut. Hasil pemerhatian beliau mendapati kerja-kerja kejuruteraan
yang dijalankan oleh syarikat terbabit sangat buruk.
21 Oktober: Seorang pakar dari Amerika dan bekas ahli jawatankuasa
Akademi Sains Kebangsaan Amerika bagi kesan-kesan Biologi Radiasi
Mengion (BEIR), Dr Edward Radford, atas jemputan penduduk Papan, membuat
tinjauan di tapak buangan sisa itu. Beliau dapati tapak itu tidak
sesuai sementara lubang-lubang yang digali mempunyai dinding yang nipis
atau sudah merekah.
7 November: Seorang pakar buangan sisa industri dari Jepun, Dr. Jun
Ui, menerima jemputan penduduk Papan untuk memeriksa tapak buangan ARE.
Beliau juga mendapati tapak itu tidak sesuai dijadikan kawasan
penimbunan sisa berbahaya.
28 November: Kabinet membincangkan laporan-laporan yang diserahkan
oleh dua badan kawalan. Laporan yang dikemukan oleh Lembaga Perlindungan
Radiologi Kebangsaan British (NRPB) berkata, penduduk hanya akan
selamat jika faktor-faktor tertentu diberi perhatian oleh kerajaan Perak
dan syarikat ARE. Laporan kedua oleh IAEA pula berkata, lubang-lubang
yang dibina tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
9 Disember: Lebih 1,500 penduduk di Papan mengadakan mogok lapar
selama sehari sebagai membantah keputusan kerajaan untuk meneruskan
rancangan menempatkan tapak buangan sisa di Papan. Penduduk Bukit Merah
membawa masuk seorang pakar radiasi dan genetik dari Jepun, Profesor
Sadao Ichikawa untuk mengukur paras radiasi di kawasan terbuka dan kolam
berhampiran kilang ARE. Beliau dapati paras radiasi di situ terlalu
tinggi malah paras tertinggi yang dicatatkan melebihi 800 kali paras
yang dibenarkan.
12 Disember: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam menunjukkan
minat secara peribadi terhadap perkembangan isu Papan ini. Beliau
mengunjungi tapak buangan tersebut.
1985
11 Januari: Selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh
Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Musa Hitam, kerajaan
mengambil keputusan memindahkan tapak buangan sisa ke Mukim Belanja di
Banjaran Kledang yang terletak kira-kira 5 km dari Papan dan 3 km dari
Menglembu.
1 Februari: Lapan orang penduduk, bagi pihak diri mereka sendiri dan
penduduk Bukit Merah membuat satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh
menahan ARE daripada mengeluar, menyimpan atau menimbun sisa radioaktif
di sekitar kampung tersebut.
Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dikuatkuasakan. Ia memastikan
pengendali bahagian pemasangan nuklear (termasuk kerajaan)
bertanggungjawab terhadap ancaman nuklear. Lima ahli Lembaga Perlesenan
Tenaga Atom (AELB) dibentuk di bawah Akta itu, dengan perwakilan dari
Puspati, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan
Alam Sekitar.
14 Oktober: Hakim Anuar Datuk Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Ipoh
memberikan kepada penduduk Bukit Merah perintah menahan dan menghentikan
ARE daripada mengeluar dan menimbun bahan sisa radioaktif sehingga
langkah-langkah keselamatan yang secukupnya diambil. Lebih daripada
1,500 penduduk Bukit Merah hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan
itu.
1986
22 September: ARE mendakwa ia telah membelanjakan lebih RM2 juta
untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan (sepertimana yang
dikehendaki oleh perintah mahkamah), diikuti oleh piawaian IAEA. Ia
menjemput pakar tenaga atom dari Amerika, Dr E.E. Fowler (Bekas
kakitangan IAEA) untuk mengunjungi kilang berkenaan. Menurut beliau,
paras radiasi berhampiran kawasan pembuangan yang disediakan oleh ARE
memenuhi piawaian ICRP dan beliau dapati kilang itu selamat untuk
beroperasi.
5 Oktober: Kira-kira 3,000 penduduk Bukit Merah dan kawasan
sekitarnya mengadakan tunjuk perasaan terhadap rancangan ARE untuk
menimbun sisa radioaktif di tapak kekalnya di Banjaran Kledang.
28 Oktober: Profesor Sadao Ichikawa dalam kunjungan kali keduanya ke
Bukit Merah mendapati paras radiasi di sekitar kilang ARE masih melebihi
paras yang dibenarkan. Beliau dilarang masuk ke dalam kilang itu.
16 November: Sekumpulan penyiasat dari AELB memeriksa beberapa buah
tapak buangan sisa torium yang dilonggokkan secara haram di Bukit Merah.
Mereka dibantu oleh bekas kontraktor ARE, Ng Toong Foo yang pernah
membuang sisa di situ. Bacaan di salah sebuah tapak ialah 0.05 – 0.10
milirem/jam (iaitu 438 - 876 milirem/tahun) melebihi paras keselamatan
maksimum 0.057 milirem/jam yang ditetapkan oleh ICRP.
26 November: Perwakilan dari tujuh kawasan (Bukit Merah, Lahat, Taman
Badri Shah, Menglembu, Papan, Falim dan Guntong) membentuk sebuah
jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC).
8 Disember: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Encik Kasitah Gadam
berkata hasil pemeriksaan AELB di dua tapak buangan haram Bukit Merah
mendapati paras radiasi di situ adalah selamat. Menurutnya, sungguhpun
AELB mendapati paras radiasi di situ melebihi paras normal, ini tidak
membahayakan kerana tapak-tapak itu sangat sedikit bilangannya.
1987
6 Februari: Tanpa mempedulikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh kepada
ARE supaya menghentikan operasi, AELB Malaysia memberikan lesen kepada
ARE supaya meneruskan operasinya.
10 April: PARC menjemput 14 pakar asing untuk datang ke Bukit
Merah-pengasas-pengasas Institut Antarabangsa bagi Kepentingan Awam di
Kanada, Dr Rosalie Bertell; Setiausaha Pusat Keselamatan Industri dan
Kepentingan Alam Sekitar di India, V.T. Pathmanaban; dan Presiden
Institut Kesihatan dan Tenaga di Amerika Syarikat, Kathleen Tucker
merupakan antara mereka yang dilarang memasuki kawasan ARE. Dalam satu
forum yang berlangsung di Bukit Merah, pakar-pakar itu membuat
kesimpulan bahawa ARE mendedahkan pelbagai ancaman kesihatan yang
serius.
12 April: Kira-kira 10,000 orang penduduk berarak di Bukit Merah sebagai membantah operasi yang dijalankan semula oleh ARE.
24 Mei: Kira-kira 300 orang penduduk diperintahkan bersurai oleh
anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berhampiran ARE. Lebih 20 orang,
termasuk tiga wanita mengalami kecederaan dalam dua pertelingkahan pada
hari itu. Seramai 60 orang ditahan oleh pihak polis. Semua kecuali enam
dibebaskan kemudian selepas disoal-siasat. Keenam-enam pemuda itu
dibebaskan seminggu kemudian di mana pihak polis tidak mengenakan
sebarang tuduhan. Penduduk menghalang kerja-kerja membina jalan yang
menuju ke tapak buangan kekal di Banjaran Kledang yang dicadangkan.
23 Julai: Seorang doktor Kanada, Bernie Lau, diupah oleh PARC untuk
meletakkan alat pengesan gas radon di luar kilang ARE. Beliau berjaya
mengesan sejumlah gas radon dibebaskan daripada kilang itu.
Terdahulu dari itu, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Datuk
Amar Stephen Yong berkata, kerajaan berpuas hati dengan laporan
penilaian kesan alam sekitar bagi tapak buangan kekal yang dicadangkan
itu. Penilaian itu dijalankan oleh ARE bersama beberapa orang pegawai
Kementerian.
7 September: Perbicaraan saman yang dikemukakan oleh lapan orang
penduduk Bukit Merah terhadap ARE bermula di hadapan Hakim Peh Swee Chin
di Mahkamah Tinggi Ipoh. Sebagai mengetengahkan nasib mereka, para
penyokong PARC berjalan sejauh 8 km dari Bukit Merah ke Ipoh. Polis
menyuraikan tunjuk perasaan mereka berhampiran Menglembu. Sembilan orang
ditahan tetapi dibebaskan setelah diikat jamin. Kira-kira 1,000 orang
hadir di mahkamah sebagai menunjukkan sokongan mereka.
11 September: Para penduduk berarak dari Bukit Merah ke Mahkamah
Tinggi Ipoh pada hari terakhir perbicaraan. Jumlah mereka yang hadir
dianggarkan 3,000 orang.
18 September: Penduduk Bukit Merah mengemukakan permohonan
perbicaraan kerana menghina mahkamah terhadap ARE memandangkan ia
melanggar perintah menahan operasi yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi
Ipoh kepada mereka pada tahun 1985.
27 Oktober: Lebih 100 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA). Di antaranya termasuklah pengerusi PARC, Hew Yoon
Tat; timbalannya, Hiew Yew Lan; (bekas) setiausaha PARC, Lee Koon Bun;
ahli jawatankuasa, Phang Kooi Yau dan peguam Pengguna Pulau Pinang (CAP)
yang mewakili plaintif Bukit Merah, Meenakshi Raman. Merek dibebaskan
selepas dua bulan.
November: ARE mula membina tapak buangan kekal sisa toksik di Banjaran Kledang.
1988
25 Januari: Perbicaraan disambung semula.
1990
13 Februari: Perbicaraan tamat selepas berlansung selama 65 hari dan berlanjutan lebih 32 bulan.
1992
11 Julai: Penduduk Bukit Merah memenangi kes saman terhadap ARE.
Mahkamah mengarahkan penutupan kilang ARE dalam tempoh 14 hari. Pihak
ARE pula mengumumkan ia akan membuat rayuan di Mahkamah Agung.
23 Julai: ARE mengemukan rayuan di Mahkamah Agung berhubung perintah
Mahkamah Tinggi Ipoh supaya operasinya dihentikan. Pengerusi PARC Hew
Yoon Tat dan salah seorang plaintif dalam saman terhadap ARE, Lau Fong
Fatt menemui kakitangan atasan Mitsubishi Chemical di Jepun. Mereka
diberitahu ARE mengemukan rayuan tanpa kebenaran syarikat itu.
24 Julai: Berikutan permohonan ex-parte oleh ARE, Hakim Besar
Mahkamah Agung menahan (sehingga perintah selanjutnya) perintah Mahkamah
Tinggi Ipoh kepada ARE supaya menghentikan operasinya.
3 Ogos: Lebih 2,000 orang dari Bukit Merah hadir di Mahkamah Agung
untuk mendengar rayuan ARE terhadap perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang
menggantung operasinya. Bagaimanapun, hakim-hakim Mahkamah Agung
Menangguhkan perbicaraan kepada 5 Ogos kerana ‘tekanan oleh mereka yang
berpiket di luar mahkamah.’
5 Ogos: Mahkamah Agung membenarkan permohonan ARE untuk menolak
perintah Mahkamah Tinggi yang meminta ARE menghentikan operasinya
berikutan rayuan syarikat berkenaan. Menurut hakim-hakim itu, penutupan
tersebut akan menyulitkan kilang dan 183 pekerjanya.
1993
15 Mac: Perbicaraan rayuan yang dikemukan oleh ARE di Mahkamah Agung ditangguhkan pada 7 Jun.
7 Jun: Perbicaraan mendengar rayuan ARE sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
1994
19 Januari: Pengumuman syarikat ARE untuk menghentikan operasi.
Nasrudin Hj Hasan At-Tantawi
Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat